03/05/2026
Dalam dunia hobi akuarium…kita selalu jatuh cinta dengan keunikan.
Warna yang cantik, bentuk yang rare, saiz yang luar biasa.
Kita bela dengan penuh minat dan penuh perhatian.
Tetapi tidak semua ikan yang kita bela sesuai untuk dilepaskan ke alam semula jadi.
Ramai penghobi masih belum faham bahawa ikan yang kita anggap biasa dalam akuarium boleh menjadi ancaman besar di dalam sungai.
Ikan seperti pleco, peacock bass, arapaima, alligator gar dan lain-lain bukan berasal dari perairan tempatan.
Mereka datang dari habitat yang berbeza, dengan sistem ekologi yang berbeza,dan peranan yang berbeza.
Apabila ikan-ikan ini dilepaskan ke sungai kita, mereka tidak sekadar “hidup bebas”.
Mereka mula mengubah keseimbangan yang sudah lama wujud.
Ada yang menjadi pemangsa, makan tanpa kawalan, membiak dengan cepat, merosakkan habitat dasar sungai dan ada yang perlahan-lahan menggantikan spesies tempatan. Bukan hari ini, bukan esok. Tetapi dalam jangka masa panjang…sungai kita mula berubah.
Ini bukan cerita teori. Ini sudah berlaku di banyak tempat dan banyak negara. Sekarang…ia sedang berlaku di sini. Masalah ini bukan datang dari satu pihak sahaja. Kadang-kadang, ia datang dari penghobi yang tidak tahu. Kadang-kadang, dari penjual yang tidak memberi penerangan. Dan kadang-kadang, dari mereka yang melepaskan ikan dengan niat yang baik. Jadi sebelum kita lepaskan sesuatu ke dalam sungai…kita perlu faham satu perkara:
❗️❗️Sungai bukan tempat untuk semua ikan.❗️❗️
Ikan yang kita bela di dalam tank tidak semestinya mempunyai tempat di alam liar.
Jika kita sudah tidak mampu menjaganya, itu bukan alasan untuk melepaskan.
Kerana melepaskan bukan menyelesaikan masalah tetapi memindahkan masalah ke alam.
Sebagai penghobi, kita ada tanggungjawab. Bukan sekadar menjaga ikan di dalam tank, tetapi juga menjaga keseimbangan di luar sana.
Jika benar kita sayangkan ikan, kita juga perlu sayangkan habitat asal.
Jika benar kita menghargai keindahan alam, kita tidak boleh menjadi punca kemusnahannya.
Jika ingin berbuat sesuatu yang baik, buat dengan cara yang betul.
Rujuk kepada mereka yang berpengalaman.
Dapatkan nasihat sebelum membuat keputusan.
Dan fahami spesies yang kita pegang di tangan kita.
✅️Jangan lepaskan ikan larangan.
✅️Lindungi sungai kita.
✅️Lindungi kehidupan kita.