23/09/2026
KEMATIAN ARNAB : KENALPASTI PUNCA SEBELUM MENCARI PENGGANTI.
Pagi tadi dimaklumkan masih ada arnab yang mati yang dibeli dari MAHA 2026. Ini kes ke 10 yang dimaklumkan kepada kita. Cuma kes ini tempoh kematian sekitar 3 minggu selepas pembelian berbanding day 1 - day 5 sebelum ini.
Pengunjung ke Tatoni Smart Rabbitry pasti tahu antara soalan pertama yang kita tanya adalah pernah membela arnab atau belum. Jika pernah membela dan kematian arnab, kita pasti akan menginterogasi punca kematian. Bukan untuk busybody, apatah lagi menyinggung pemiliknya. Sebaliknya memastikan kesalahan atau kesilapan, jika ada, tidak berulang.
Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Cuma sunnah alam (sistem kehidupan) menetapkan sebab musabbab yang boleh kita pelajari untuk mengelakkan kematian yang berpunca dari kekurangan info dan maklumat penjagaan. Ia penting sebelum anda membuat keputusan menggantikan arnab yang mati.
Punca Kematian
Tidak semua punca kematian dapat dideteksi. Apatah lagi jika pemeliharaan tidak dilakukan dengan sistematik. Keutamaan kita adalah mengenalpasti punca kematian yang boleh dielakkan.
1. Kesihatan Asas Arnab
Paling penting untuk pembeli mendapatkan arnab yang sihat. Review kita sebelum ini beberapa kali mengulas isu ini kerana ini antara punca utama kematian terutama. Body Condition Score (BCS), penghadaman arnab dan bebas jangkitan adalah 3 aspek utama yang perlu diberikan perhatian. (sila rujuk review berkaitan sebelum ini).
2. Makanan dan Pemakanan
Isu ini juga antara penyumbang kepada statistik kematian. Arnab adalah pseudoruminan yang berbeza dengan ruminan apatah lagi manusia. Jenis makanan, kuantiti makanan, kekerapan dan cara pemberian jika tidak difahami, boleh membawa kepada risiko cirit dan kembung. Cirit dan kembung adalah komplikasi utama dalam statistik kematian arnab.
Elakkan beriman dengan pandangan awam di media sosial tentang 'boleh dan tidak' tanpa anda memahami alasan dan penjelasan disebaliknya. Juga telah kita jelaskan sebagaiannya dalam review sebelum ini.
3. Sistem Penjagaan
Arnab adalah haiwan mangsa. Apabila habitat liarnya hendak didomestikkan, pastinya sistem penjagaan perlu diambil kira antara keselesaan arnab dan keselamatannya. Apatah lagi cuaca tropika bukanlah kampung halaman asal arnab. Kesemua ini memerlukan kefahaman untuk diimbangkan dalam menyediakan sistem penjagaan dan prasarana.
Terdapat banyak kes yang boleh dikaitkan dengan sistem penjagaan. Cuma komplikasi melibatkan sistem penjagaan kebiasaan tidaklah acute tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan jangka hayat arnab.
4. Pemangsa
Sebagai haiwan mangsa (prey animal) dalam kategori haiwan kecil, tahap survival rate jika diserang adalah sangat rendah. Penting bagi memastikan ekosistem yang ada kondusif. Elakkan pendedakan kepada pemangsa dan sediakan langkah-langkah keselamatan yang perlu.
Komplikasi pemangsa biasanya membawa kepada kematian berjamaah (dalam kuantiti yang banyak) dan trauma berpanjangan kepada emosi penternak.
5. Komplikasi Lain
Banyak komplikasi akan dilalui sepanjang pemeliharaan arnab. Untuk pemeliharaan secara indoor (dalam rumah), penting untuk penyediaan sangar atau sekurang-kurangnya ruang playpen. Pemeliharaan secara free room sangat terdedah kepada komplikasi seperti trauma akibat dipijak. Kecenderungan arnab berada ditempat tersorok yang berhabuk juga cenderung membawa kepada komplikasi pneumonia yang sekurang-kurangnya akan merendahkan jangka hayat arnab.
Ini sebahagian daripada review yang patut dilakukan jika anda ingin mengantikan arnab yang baru mati. Walaupun kematian itu pasti dan tempoh ajalnya sudah ditetapkan, tetapi biarlah kematian itu bukan berpunca dari kelalaian dan kekhilafan kita sebagai penternak yang diberikan amanah untuk menjaganya.